Saturday 4 August 2012

Kurma Tinggi Kandungan Khasiat

Kurma juga boleh didapati
bersama perisa coklat
SEPANJANG Ramadhan, buah kurma boleh dilihat di mana-mana saja apatah lagi sudah menjadi sunnah untuk kita memakannya terlebih  dulu ketika berbuka puasa.

     Untuk pengetahuan semua, kurma adalah sejenis tumbuhan palma atau bahasa saintifikmya, Phonex Dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada masak atau mentah.

     Buah istimewa yang banyak didapati di negara Timur Tengah ini memiliki banyak khasiat dari sudut kesihatan. Antaranya, ia mengandungi kandungan zat besi, potasium, kalsium, fosforus, sodium, vitamin A dan B serta niasin yang tinggi.

     Selain itu, ia juga membantu memperkuatkan daya tahan tubuh, meningkatkan pertumbuhan tulang pada kanak-kanak, melancarkan pertumbuhan sistem penghadaman serta dapat melindungi badan daripada pengumpulan kolesterol.

     Ia juga memiliki kadar potasium dua kali ganda lebih tinggi daripada sebiji pisang dan membantu mencegah pelbagai penyakit seperti sakit kerongkong, demam, cirit-birit, sakit perut dan menjaga penglihatan.

     Mengikut hasil kajian ahli sains Mesir, khasiat kurma terbukti dalam membantu memanaskan badan, mencergaskan otak dan tubuh badan, mencergaskan minda serta membantu tumbesaran kanak-kanak.

     Di samping itu, kurma juga membantu melicinkan perjalanan darah, merawat buah pinggang dan mencuci hati serta membantu mengurangkan pengaliran darah ketika melahirkan anak. Jadi, ia amatlah disyorkan kepada bakal para ibu yang akan melahirkan anak supaya mengamalkan pemakanan buah kurma dengan sistematik.

     Kandungan karbohidratnya yang tinggi membekalkan banyak tenaga dan kandungan zat gizi yang dimiliki penting bagi fungsi tubuh iaitu kalium khusus untuk kebaikan jantung dan pembuluh darah.

     Galian dalam kurma berfungsi untuk membetulkan denyutan jantung, mengaktifkan pengecutan otot dan mengatur tekanan darah. Gula yang terkandung dalam kurma pula mudah diserap dalam tubuh tanpa perlu melalui proses yang panjang.

     Justeru, kurma dianggap sebagai buah yang paling ideal untuk hidangan berbuka puasa atau sahur. Tidak hairanlah, ia banyak disebut dalam al-Quran, malah menjadi makanan ruji Nabi Muhammad s.a.w.

Malah Rasullah bersabda:
"Sesiapa yang memakan biji tamar Ajwah, dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu."
(Riwayat Imam Bukhari)

Kurma Bertangkai lebih MAHAL !!
Oh ya ! Bagi anda yang mahu memastikan dan mengekalkan kesegaran buah kurma, ia harus sentiasa disimpan di dalam peti sejuk. Buah kurma bertangkai pula adalah kurma yang paling mahal berbanding kurma biasa.

     Sementara itu, kurma kering turut mempunyai keistimewaan tersendiri dan cara penyimpaan juga lebih mudah.



Selamat menjalani ibadah puasa tanpa letih & lesu... *^___^*
SELAMAT BERBUKA PUASA !

No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...